Wednesday, 30 May 2018

TAKDIR. TAHFIZ


Suatu ketika dahulu..
Terdapat seorang anak yang dianugerahkan oleh Allah mendapat 5A UPSR.
Gembira sang ayah. Belum pernah ada anak sang ayah yang mendapat keputusan secemerlang itu. Lalu dengan harapan yang menggunung, sang ayah ingin anaknya dimasukkan ke sekolah tahfiz.

Anak itu tidak mengerti apa-apa kala itu. Yang anaknya tahu akan dimasukkan ke sekolah asrama penuh. Girang anak itu. Memang cita-citanya ingin masuk asrama. Kononnya

Anak itu follow the flow. Pergi interview. Pergi ujian bertulis. Akhirnya mendapat surat tawaran masuk ke sekolah tahfiz tersebut. Anak itu bersemangat dan gembira. Apatah lagi perasaan sang ayah.
Persediaan dibuat satu persatu sehingga tibalah hari pertama pendaftaran. Anak itu memulakan kehidupan di sekolah tahfiz.

Kelakar. Anak itu sebenarnya kurang jelas dengan sekolah baru didaftarkan itu. Si anak menyangka sekolah itu hanya sekadar yang mempunyai hafalan quran sepertimana kelas kafa dulu. Hafal surah-surah dalam buku sahaja. Rupanya tidak. Anak itu hanya membawa kitab mathurat dan yasin. Itupun diambil satu dari lambakan goodies yang sentiasa ‘mencanak’ setiap kali ibu dan ayahnya pulang dari kenduri kahwin.

Mathurat dan yasin tu pun dibawa anak itu ke asrama untuk diletakkan sebelah bantal kononnya sebagai pendinding diri, takut dengan gangguan makhluk halus yang mana asrama selalu dikaitkan dengan adegan mistik.
Hari pertama masuk kelas. Ustazah tanya mana Alquran? anak itu hanya tersengih dan melihat rakan-rakan yang lain semua mempunyai alquran. Jadi, anak itu minta izin dengan gurunya untuk membeli Alquran di koperasi sekolah.

Maka barulah anak itu mempunyai Alquran yang khusus untuk menghafal. Alhamdulillah.
Hari-hari dilalui di asrama membuatkan anak itu mula berasa homesick. Menangis di penjuru tangga asrama. Melihat pokok getah yang tersusun elok tanamannya. Menangis dek  kerinduan pada ibu dan ayah. Menangisi bahawa sukarnya untuk menghafal. Apabila telah ingat satu ayat, beralih ke ayat lain, bila sudah beralih, yang sudah dihafal lari tidak meninggalkan jejak. Begitulah hari-hari yang dilalui anak itu.

Anak itu tidak pernah mengeluarkan kata ingin berhenti. Anak itu lalui sahaja kehidupan sebegitu.  Sehinggakan pencapaian hafalan pada tahun pertama itu merosot. Dimasukkan ke dalam kelas intensif bagi mengejar sukatan hafalan yang ditetapkan sekolah. Cuti ditahan 4 hari dari 7 hari yang sepatutnya pelajar boleh mula bercuti. Anak itu cuma boleh balik selepas 4 hari ditahan. Baki cuma 3 hari sahaja. Sedih

Anak itu redha dalam terpaksa. Sejak dari kelas intensif itu,  anak itu terus memasang niat bersungguh-sungguh dalam menghafal. Dan alhamdulillah ada peningkatan.

Maka tiba tahun ketiga pengajian, keluarga anak itu dilanda masalah ekonomi. Ayahnya berhenti kerja selama setahun. Ayahnya menasihati anaknya supaya berpindah sekolah agama biasa. Bukan sekolah tahfiz berasrama. Dek kerana kurang mampu untuk membayar yuran bulanan yang mencecah jumlah RM300. iya, bagi sesetengah rakannya yang lain, jumlah tersebut bukanlah jumlah yang besar kerana kebanyakkan ibubapa kepada rakan-rakannya merupakan golongan berada, ada YB, ada doktor, ada orang bisnes, ada pensyarah dan lain-lain. Kewangan bukanlah masalah utama mereka.

Rasa kecintaan pada quran itu sudah mula berputik dalam hati si anak. Rasa sayang kepada sekolah sudah bertapak kukuh dalam jiwanya. Rasa sebak melanda dalam diri si anak kala itu.

Anak itu berdoa bersungguh-sungguh agar Allah izinkan dia meneruskan di sekolah tersebut sehingga khatam. Anak itu meminta kepada ALLAH agar ayahnya mendapat kerja dalam tempoh terdekat. Allah belum memakbulkan lagi doanya itu. Tapi Allah hantarkan bantuan dari sumber yang tidak disangka-sangka. Allah detikkan hati rakan-rakan untuk menolong, Allah detikkan hati orang dermawan diluar sana. Allah detikkan hati nenek yang sememangnya mempunyai harta simpanan. Allah hadirkan pertolongan itu melalui insan-insan ini.

Alhamdulillah dalam tempoh setahun anak itu masih bertahan. Dan penghujung tahun itu juga lah, ayahnya sudah mendapat kerja. Syukur kehadrat Allah.

Maka, dilalui hari-hari di sekolah tersebut dengan menghabiskan hafalan 30 juz. Setelah 4 tahun 5 bulan, anak itu akhirnya berjaya menamatkan hafalannya. Sujud syukur pada Rabnya. Anak itu takut jika Allah tidak memilih dia menjadi alhafiz. Anak itu gusar setelah mendengar tazkirah dari ustaz bahawa alhafiz ini sebenarnya yang terpilih sahaja. Ada sahaja diluar sana, baki cuma lagi satu juzuk untuk khatam, tapi Allah tidak izinkan, maka tidak dapat juga khatam.

Pada saat itu, sebak didada menyelubungi jiwa raga. Berderau darah panas mengalir seluruh badan dikala setiap surah-surah akhir dibaca dan diikuti rakan-rakan. Berdiri bulu roma disaat surah an-nas dibaca hadapan guru. Berjurai air mata dikala guru memeluk mengucapkan tahniah dan takziah.

Sejak dari itu, bermulalah tugas anak itu sebagai hamlatul Quran. Bermulalah pemikulan amanah terbesar dalam hidup anak itu.

coretan,
anak itu

No comments:

Post a Comment