Wednesday, 13 June 2018

Macam mana cara hafal quran?


First thing first, sebelum memulakan hafalan pastikan niat kena betul, niat kena lillahitaala.

Dengar cliché kan ? senang cerita macam ni, niat nak hafal quran ni bukan sebab nak nama kita disebut-sebut nanti, niat nak hafal quran ni bukan sebab nak orang pandang kita mulia, niat nak hafal quran bukan sebab prospek guru tahfiz meluas. Niat betul-betul kita nak hafal kalam ALLAH. Kalam ALLAH bermaksud kata-kata ALLAH, kata-kata ALLAH sahabat-sahabat, bukan kata-kata Dr.M, bukan kata-kata Syafiq Kyle, bukan kata-kata mirafilzah.. kata-kata pencipta kita. Jadi, bolehlah perlahan-lahan set niat kerana ALLAH.

Maka, disini saya ingin sertakan sedikit cara menghafal quran..

1)      TIKRAR
Kaedah ini first time saya dengar sewaktu saya menghadiri satu Seminar Metode Hafalan di Indonesia. Kaedah tikrar ni memerlukan daya usaha yang tinggi dan istiqomah. Sebab apa? Sebab namanya juga tikrar, tikrar diambil dari bahasa arab yang bermaksud “ulang”. Kaedah ini tidak membebankan otak, sebab kita tidak perlu pun berusaha mengingat, tapi kita perlu kerajinan dan sabar sahaja.
Macam  mana? Ulang baca setiap ayat sebanyak 40 kali. Iya, 40 kali. Baca tengok tau. Kalau nak senang beli sahaja Quran Tikrar. Memang ada dijual di kedai, tapi aslinya dari Indonesia. Di quran itu memang dah disediakan siap-siap column untuk kita tanda berapa banyak kita ulang ayat tersebut. Untuk bilangan baca tu bagi saya cukup 20 kali pun dah kira okay, tapi nak lagi mantap, baca 40 kali, baru terus masuk ke ingatan kekal. In Shaa ALLAH.


2)      HAFAL DENGAN MAKSUD
Kaedah ni memang kaedah paling saya suka. Sebab disamping kita hafal, kita boleh tahu maksud sekali, tidaklah kita hafal memb**** buta. Kaedah ini seronok bagi sesiapa yang ada basic bahasa arab, bagi yang tiada basic arab, mereka akan sedikit sulit untuk guna kaedah ini. Macam mana nak hafal guna maksud? Senang ja, baca ayat quran tu, dan lihat maksud dia, fahami apa yang ALLAH nak bagitahu pada ayat tersebut, then match kan ayat quran tu dengan terjemahan. Nak mudah, beli sahaja quran terjemahan perkata, dalam tu dah siap-siap ditulis terjemahan pada setiap ayat quran.. ALLAHU, senang sungguh! Jadi bila kita dah tahu maksud, ketika kita baca tu ibarat kita tengah bercerita tapi dalam bahasa arab. Syok kan.hee


Untuk entri kali ini itu sahaja dulu, in shaa ALLAH akan ada sambungannya nanti. Selamat mencuba!

Thursday, 31 May 2018

RINTIHAN HAMBA

Berdoa sudah. Merintih sudah.
Tapi,
Kenapa Allah masih belum kabulkan?
Kenapa Allah 'hukum' sebegini kian?
Kenapa selepas satu kegagalan, Kau hadiahkan lagi kegagalan.?
Masih belum sembuh kelukaan, Kau torehkan luka diatas kelukaan.

Perih. Memang perih.
Pedih. Memang pedih.

Dunia ibarat tidak bercahaya. Hidup ibarat tidak bermakna.

Ya Rabb, dimana silapnya? Apakah tidak berhak bagiku mengecapi sebuah kesenangan?

Merenung sejenak..
Tiba-tiba teringat satu peristiwa dahulu yang diceritakan oleh seorang ustaz.

 Terdapat seorang hamba Allah yang tiap-tiap hari bersungguh-sungguh merintih kepada Allah di hadapan kaabah agar dimakbulkan doanya, sehingga bergegar Arasy Allah.
Maka berkata malaikat kepada Allah, "Ya Allah, Kau makbulkanlah doa si fulan ini, kasihanilah dia, tiap-tiap hari merintih memohon doanya dikabulkan sehingga bergegar Arasy-Mu".

Jawab Allah, " Aku bukan tidak ingin makbulkan doanya, tapi Aku tangguhkan, kerna Aku tahu bahawa selepas Aku memakbulkan doanya ini, Aku sudah tidak lagi mendengar rintihannya, Aku rindu mendengar rintihannya, jadi, Aku akan makbulkan doanya setelah  dia benar-benar dipautkan rasa ketakwaan dan cintanya kepada Aku".

Dunia kembali bercahaya. senyum :)

Wednesday, 30 May 2018

MORAL VALUE



Sedikit sambungan dari kisah TAKDIR.TAHFIZ 


Teman-teman, 
moral dari kisah TAKDIR.TAHFIZ yang admin post sebelum ini ialah, setiap orang mempunyai potensi untuk menjadi penghafal Al-Quran.

 Iya, benar.

Tindakannya ialah dengan kita berdoa bersungguh-sungguh dan tetapkan niat yang ikhlas kerana ALLAH. Jika permulaan hafalan adalah kerana inginkan nama dan kemuliaan, percayalah yang kalian pasti akan menemui kesulitan yang teramat untuk menjaga hafalan. 

Sahabat, 

Masih belum terlambat lagi jika kita ingin memulakannya sekarang, ditambah pula masih didalam bulan ramadhan. Gunakan peluang yang ada ini untuk kita mendekatkan diri dengan ALLAH melalui Al-QURAN.

Tipu jika tiada keperitan dalam menjaga Kalamullah, tapi dengan keperitan itulah yang akhirnya membuahkan rasa kemanisan.

Akhir kalam, semoga kita termasuk dalam kalangan orang yang sentiasa diberikan rasa kemanisan berada diatas jalan yang diredhaiNya. amin

KERNA AKU MANUSIA




Aku lantang berbicara soal kesabaran menimpa ujian.
Aku lantang berbicara soal doa hamba ditangguhkan.
Aku bijak menyusun kata berprasangka baiklah pada Tuhan.
Aku bijak menyusun kata bertabahlah dengan kegagalan.

Namun hakikatnya...
Akulah yang cepat melatah dikala ujian menimpa.
Akulah yg cepat mempertikaikan kenapa doa tak diterima.
Akulah yang kuat berprasangka kepada tuhan yang mencipta.
akulah yang kuat berkeluh kesah disaat kekecewaan melanda.

Ya, itulah aku. 
..Manusia..
Iman dikala ada jatuh dan bangunnya. 
Tidak pernah terlepas daripada perilaku dosa. 
Tidak pernah culas dari syak wasangka.
Tidak pernah terlolos dari maksiat dan noda. 
Dengan apa yang berlaku, cuma perlu bermuhasabah agar tidak terkandas dari landasan yang sedia ada.

TAKDIR. TAHFIZ


Suatu ketika dahulu..
Terdapat seorang anak yang dianugerahkan oleh Allah mendapat 5A UPSR.
Gembira sang ayah. Belum pernah ada anak sang ayah yang mendapat keputusan secemerlang itu. Lalu dengan harapan yang menggunung, sang ayah ingin anaknya dimasukkan ke sekolah tahfiz.

Anak itu tidak mengerti apa-apa kala itu. Yang anaknya tahu akan dimasukkan ke sekolah asrama penuh. Girang anak itu. Memang cita-citanya ingin masuk asrama. Kononnya

Anak itu follow the flow. Pergi interview. Pergi ujian bertulis. Akhirnya mendapat surat tawaran masuk ke sekolah tahfiz tersebut. Anak itu bersemangat dan gembira. Apatah lagi perasaan sang ayah.
Persediaan dibuat satu persatu sehingga tibalah hari pertama pendaftaran. Anak itu memulakan kehidupan di sekolah tahfiz.

Kelakar. Anak itu sebenarnya kurang jelas dengan sekolah baru didaftarkan itu. Si anak menyangka sekolah itu hanya sekadar yang mempunyai hafalan quran sepertimana kelas kafa dulu. Hafal surah-surah dalam buku sahaja. Rupanya tidak. Anak itu hanya membawa kitab mathurat dan yasin. Itupun diambil satu dari lambakan goodies yang sentiasa ‘mencanak’ setiap kali ibu dan ayahnya pulang dari kenduri kahwin.

Mathurat dan yasin tu pun dibawa anak itu ke asrama untuk diletakkan sebelah bantal kononnya sebagai pendinding diri, takut dengan gangguan makhluk halus yang mana asrama selalu dikaitkan dengan adegan mistik.
Hari pertama masuk kelas. Ustazah tanya mana Alquran? anak itu hanya tersengih dan melihat rakan-rakan yang lain semua mempunyai alquran. Jadi, anak itu minta izin dengan gurunya untuk membeli Alquran di koperasi sekolah.

Maka barulah anak itu mempunyai Alquran yang khusus untuk menghafal. Alhamdulillah.
Hari-hari dilalui di asrama membuatkan anak itu mula berasa homesick. Menangis di penjuru tangga asrama. Melihat pokok getah yang tersusun elok tanamannya. Menangis dek  kerinduan pada ibu dan ayah. Menangisi bahawa sukarnya untuk menghafal. Apabila telah ingat satu ayat, beralih ke ayat lain, bila sudah beralih, yang sudah dihafal lari tidak meninggalkan jejak. Begitulah hari-hari yang dilalui anak itu.

Anak itu tidak pernah mengeluarkan kata ingin berhenti. Anak itu lalui sahaja kehidupan sebegitu.  Sehinggakan pencapaian hafalan pada tahun pertama itu merosot. Dimasukkan ke dalam kelas intensif bagi mengejar sukatan hafalan yang ditetapkan sekolah. Cuti ditahan 4 hari dari 7 hari yang sepatutnya pelajar boleh mula bercuti. Anak itu cuma boleh balik selepas 4 hari ditahan. Baki cuma 3 hari sahaja. Sedih

Anak itu redha dalam terpaksa. Sejak dari kelas intensif itu,  anak itu terus memasang niat bersungguh-sungguh dalam menghafal. Dan alhamdulillah ada peningkatan.

Maka tiba tahun ketiga pengajian, keluarga anak itu dilanda masalah ekonomi. Ayahnya berhenti kerja selama setahun. Ayahnya menasihati anaknya supaya berpindah sekolah agama biasa. Bukan sekolah tahfiz berasrama. Dek kerana kurang mampu untuk membayar yuran bulanan yang mencecah jumlah RM300. iya, bagi sesetengah rakannya yang lain, jumlah tersebut bukanlah jumlah yang besar kerana kebanyakkan ibubapa kepada rakan-rakannya merupakan golongan berada, ada YB, ada doktor, ada orang bisnes, ada pensyarah dan lain-lain. Kewangan bukanlah masalah utama mereka.

Rasa kecintaan pada quran itu sudah mula berputik dalam hati si anak. Rasa sayang kepada sekolah sudah bertapak kukuh dalam jiwanya. Rasa sebak melanda dalam diri si anak kala itu.

Anak itu berdoa bersungguh-sungguh agar Allah izinkan dia meneruskan di sekolah tersebut sehingga khatam. Anak itu meminta kepada ALLAH agar ayahnya mendapat kerja dalam tempoh terdekat. Allah belum memakbulkan lagi doanya itu. Tapi Allah hantarkan bantuan dari sumber yang tidak disangka-sangka. Allah detikkan hati rakan-rakan untuk menolong, Allah detikkan hati orang dermawan diluar sana. Allah detikkan hati nenek yang sememangnya mempunyai harta simpanan. Allah hadirkan pertolongan itu melalui insan-insan ini.

Alhamdulillah dalam tempoh setahun anak itu masih bertahan. Dan penghujung tahun itu juga lah, ayahnya sudah mendapat kerja. Syukur kehadrat Allah.

Maka, dilalui hari-hari di sekolah tersebut dengan menghabiskan hafalan 30 juz. Setelah 4 tahun 5 bulan, anak itu akhirnya berjaya menamatkan hafalannya. Sujud syukur pada Rabnya. Anak itu takut jika Allah tidak memilih dia menjadi alhafiz. Anak itu gusar setelah mendengar tazkirah dari ustaz bahawa alhafiz ini sebenarnya yang terpilih sahaja. Ada sahaja diluar sana, baki cuma lagi satu juzuk untuk khatam, tapi Allah tidak izinkan, maka tidak dapat juga khatam.

Pada saat itu, sebak didada menyelubungi jiwa raga. Berderau darah panas mengalir seluruh badan dikala setiap surah-surah akhir dibaca dan diikuti rakan-rakan. Berdiri bulu roma disaat surah an-nas dibaca hadapan guru. Berjurai air mata dikala guru memeluk mengucapkan tahniah dan takziah.

Sejak dari itu, bermulalah tugas anak itu sebagai hamlatul Quran. Bermulalah pemikulan amanah terbesar dalam hidup anak itu.

coretan,
anak itu

Tuesday, 2 January 2018



Eccedentesiast (n)
Someone who hides pain behind a smile.

Itulah maksud kepada Eccedentesiast.
Seseorang yang menyembunyikan keperihan/penderitaan/kedukaan dengan senyum. Makna kata, Eccedentesiast ini mengajar supaya menjadi seseorang yang 'menipu' demi memberikan pengaruh yang positif kepada orang lain.

Aku memilih nama ini sebagai nama blog aku adalah untuk memotivasikan diri aku dan pembaca sekalian untuk sentiasa menjadi seorang yang positif dan kuat. Bukan sebab aku memang seorang positif setiap masa, tapi disebabkan aku seorang yang sentiasa alpa akan kepentingan berpositif.

Mudah-mudahan kita diberi kemudahan untuk menjadi seseorang yang sentiasa menyebarkan kebahagian dan positive vibes to others. Jauhkan daripada berfikiran negatif dan pengaruh-pengaruh yang negatif sehingga membuatkan segala benda terhumban masuk ke pelosok penderitaan.

sekian.